Renungan

Selasa, 29 Maret 2011

Tgk Syik Hasan Krueng Kalee

Syaikh Teungku Hasan bin Teungku Muhammad Hanafiyyah bin Teungku Syaikh 'Abbas bin Teungku Muhammad Fadhli rahimahumUllah yang lebih dikenali sebagai Syaikh Hasan Krueng Kalee atau Abu Krueng Kalee adalah salah seorang ulama besar Ahlus Sunnah wal Jama`ah kelahiran Aceh. Beliau dilahirkan pada tanggal 13 Rejab 1303 (17 April 1886) di Kampung Meunasah Ketembu, Kabupaten Pidie, Aceh. Untuk pengetahuan, "teungku" adalah gelaran hormat masyarakat Aceh yang diberi kepada ulama, sebagaimana "teuku" pula diberikan kepada pahlawan atau pemimpin. Jangan dikelirukan istilah tersebut dengan "tengku" yang biasa digunakan di negara kita sebagai keturunan diraja.

Syaikh Hasan Krueng Kalee berketurunan ulama, dikatakan bahawa ayahanda beliau dan datuk-datuk beliau sehingga yang ke-7 semuanya ulama-ulama besar. Ayahanda beliau, Tengku Muhammad Hanafiyyah, terkenal dengan gelaran Teungku Chik Krueng Kalee I atau Teungku Haji Muda, adalah seorang ulama besar yang memimpin Dayah (Pondok) Krueng Kalee yang terletak di Kabupaten Aceh Besar. Beliau juga adalah sahabat karib pahlawan nasional Indonesia, Teungku Syaikh Muhammad Saman Tiro @ Teungku Chik Di Tiro.

Syaikh Hasan menerima didikan awal agama daripada ayahandanya sendiri di samping bondanya yang juga seorang yang alim keturunan ulama juga iaitu Nyak Hafsah binti Teungku Syaikh Ismail @ Teungku Chik Krueng Kalee II. Setelah meningkat ke usia remaja, beliau dihantar ke Kedah, Malaysia untuk berguru dengan Tok Syaikh Muhammad Arsyad rahimahUllah, Pondok Yan, Kedah. Tok Syaikh Muhammad Arsyad adalah ulama Aceh yang telah membuka pondok di Yan, Kedah sekitar tahun 1900, beliau dikenali sebagai Teungku Di Balai.

Syaikh Hasan duduk mengaji di Pondok Yan, Kedah selama beberapa tahun dan pada 1910 beliau dengan restu gurunya berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji dan melanjutkan pengajian di sana. Beliau bermukim sekitar 6 tahun di Makkah dan meneguk kemanisan ilmu daripada para ulama di sana. Antara yang menjadi guru beliau adalah Syaikh Ahmad Syatha ad-Dimyathi, Syaikh Sa`id Sunbul (Mufti Syafi`i Makkah), Syaikh 'Abdullah Ismail, Syaikh Hasan Zamzami, Syaikh Utsman bin Muhammad Fadhil Aceh, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dan lain-lain lagi. Selain mengaji pelajaran fiqh, tawhid, tasawwuf dan yang seumpamanya, Syaikh Hasan turut mendalami bidang falak dan berjaya menguasainya sehingga sejak di Makkah lagi beliau dikenali sebagai Syaikh Muhammad Hasan al-Aasyie al-Falaki.

Pada tahun 1916, Syaikh Hasan pulang ke Kedah dan mengabdikan dirinya mengajar di Pondok Yan, Kedah. Kemudian beliau diminta oleh pamannya untuk kembali ke Aceh untuk menerajui Dayah Krueng Kalee. Di bawah asuhannya, Dayah Krueng Kalee bertambah terkenal dan menjadi sebuah pusat pendidikan agama yang masyhur melahirkan ramai ulama dan pendakwah di serata Nusantara. Di antara murid-murid beliau yang berhasil menjadi ulama adalah:-

1. Teungku Ahmad Pante, ulama dan imam masjid Baitur Rahman Banda Aceh.
2. Teungku Hasan Keubok, ulama dan qadhi Aceh Besar.
3. Teungku Muhammad Saleh Lambhouk, ulama dan imam masjid Baitur Rahman Banda Aceh.
4. Teungku Abdul Jalil Bayu, ulama dan pemimpin Dayah Al-Huda Aceh Utara.
5. Teungku Sulaiman Lhoksukon, ulama dan pendiri Dayah Lhoksukon, Aceh Utara.
6. Teungku Yusuf Peureulak, ulama dan ketua majlis ulama Aceh Timur.
7. Teungku Mahmud Simpang Ulim, ulama dan pendiri Dayah Simpang Ulim, Aceh Timur.
8. Teungku Haji Muda Waly Labuhan Haji, ulama dan pendiri Dayah Darussalam, Labuhan Haji, Aceh Selatan.
9. Teungku Syaikh Mud Blang Pidie, ulama dan pendiri Dayah Blang Pidie, Aceh Selatan.
10. Syaikh Syihabuddin, ulama dan pendiri Dayah Darussalam Medan, Sumatera Utara.
11. Kolonel Nurdin, bekas Bupati Aceh Timur.
12. Teungku Ishaq Lambaro Kaphee, ulama dan pendiri Dayah Ulee Titie.

Syaikh Hasan juga dikenali sebagai seorang ulama sufi yang mengikut Thariqah Ba 'Alawi berpaksikan kepada ajaran dan amalan Quthbul Irsyad wad Dakwah al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad RA. Beliau telah menyusun sebuah kitab yang berjodol " Risalah Lathifah fi Adaabidz Dzikri" yang menerangkan adab dan kaedah bertahlil dan berzikir menurut jalan Imam al-Haddad. Penguasaan beliau terhadap amalan - amalan kerohanian telah diakui ramai sehingga pada 7 Mei 2007 dalam satu forum yang dihadiri oleh ratusan ulama besar Aceh di Masjid Baitur Rahman, Banda Aceh telah menyimpulkan bahawa ada empat ulama Aceh yang telah sampai ke darjat ma'rifatUllah, mereka adalah Syaikh Abdur Rauf as-Sinkili, Syaikh Hamzah al-Fansuri, Syaikh Teungku Muhammad Hasan Krueng Kalee dan Teungku Haji Muda Waly al-Khalidi rahimahumUllah.

Syaikh Hasan juga terlibat terus dalam perjuangan menentang Belanda dan perjuangan kemerdekaan Indonesia. Pada 15 Oktober 1945, beliau telah menandatangani "Dekrit Perang Sabil" untuk menentang penjajah Belanda yang kembali menjajah Belanda. Setelah kemerdekaan, beliau turut aktif dalam Partai Islam PERTI dan telah terpilih menjadi anggota konstituante dalam pemilu pertama di Indonesia.

Pada 14 DzulHijjah 1392 (19 Januari 1973), Syaikh Hasan rahimahUllah telah kembali ke rahmatUllah dengan tenang. Beliau dimakamkan di Kampung Krueng Kalee, Aceh Besar. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucurkan rahmat dan kasih-sayangNya kepada beliau.... al-Fatihah.

(Sumber dari : http://bahrusshofa.blogspot.com/)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar