Rabu, 03 Agustus 2011

Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi pengarang Sirajul Huda Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

TERDAPAT beberapa ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa yang meninggalkan karangan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bahkan beberapa orang di antara mereka terkenal sebagai ulama-ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram Mekah.

Di antara mereka yang sangat terkenal ialah Syeikh Abdul Ghani bin Subuh bin Ismail al-Bimawi (Bima) yang mempunyai ramai murid. Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi yang terkenal sama dengan Syeikh Abdul Ghani Bima. Tetapi kedua-duanya tidak meninggalkan karya cetakan.

Kemungkinan karya mereka terdapat dalam bentuk manuskrip. Dua ulama Sumbawa yang meninggalkan karangan ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah Qadhi as-Sumbawi dan seorang lagi ialah yang diriwayatkan ini. Nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi.

Karyanya yang sangat terkenal dan masih diajarkan di kalangan masyarakat Melayu hingga sekarang ialah Sirajul Huda, seperti tersebut pada judul artikel ini. Menurut tradisi pengajian pondok di alam Melayu, kitab tersebut biasanya dibaca sesudah menamatkan kitab Faridatul Faraid . Apabila sudah cukup memahami kitab Faridatul Faraid barulah memasuki kitab Sirajul Huda. Tetapi ada juga pondok yang mendahulukan Sirajul Huda kemudian baru mengajar Faridatul Faraid.

Sesudah kedua-dua kitab itu - yang dipandang sebagai asas ilmu tauhid - barulah memasuki kitab Ad-Durruts Tsamin. Setelah ketiga-tiga kitab itu betul-betul difahami dengan kukuh, asas Ahli Sunah wal Jamaah metod Syeikh Abu Mansur al-Maturidi tidak berganjak lagi, maka mereka akan memasuki kitab-kitab akidah yang lebih berat seumpama ad-Durun Nafis karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan lain-lain.

Untuk mengesan pada zaman mana Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa hidup, ada sedikit kesukaran. Ini kerana daripada kedua-dua karyanya yang masih beredar di pasaran, beliau tidak menyebut tahun berapa memulakan atau menyelesaikan karyanya itu.

Dari beberapa salasilah keilmuan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (Padang), dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa adalah peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani (1230H/1814M - 1312H/ 1897M) dan peringkat guru kepada Syeikh Mukhtar bin 'Atarid al-Bughri(Bogor) (1278H/1860M - 1349H/1930M).

Berdasarkan tulisan Syeikh Muhammad Az-hari al-Falimbani dalam beberapa karyanya di antaranya Badi’uz Zaman, bahawa beliau menerima Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi menerima baiah daripada Syeikh Muhammad Mukrim, Mufti Hamad di negeri Syam.

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani pula, hanya sedikit mencatat tentang Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu. Kata beliau: “Dan mengkhabarkan kepada hamba oleh al-alim Tuan Zainuddin Sumbawa Rahimahullah taala bahawasanya mengenai akan dia oleh penyakit karang, maka minum ia akan air rebusan kayu sepang dan kayu kendarang, mengekali ia atasnya beberapa bulan, maka sembuh ia dan hilang daripadanya penyakit itu semua sekali.”

Kesimpulannya, Syeikh Muhammad Zainuddin hidup sejak zaman Syeikh Nawawi al-Bantani dan beliau dikira lebih tua daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272H/1856M-1325H/1908M). Syeikh Ahmad al-Fathani pula sempat belajar dengan Syeikh Nawawi al-Bantani itu dan ada kemungkinan Syeikh Ahmad al-Fathani pula pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi.

Sudah jelas bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi ketika di Mekah, banyak memperoleh ilmu dari Syeikh Nawawi al-Bantani. Namun begitu, pendidikannya sebelum di Mekah tidak diketahui dengan pasti.

Dari sekian banyak salasilah/sanad sesuatu disiplin ilmu yang disebutkan oleh Syeikh Yasin Padang dalam Al-‘Iqdul Farid, sebagai contoh, Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan Syeikh Abdul Ghani bin Subuh bin Ismail al-Bimawi menerima ilmu daripada al-Mu’ammar al-Kiyai Nawawi bin Umar al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani menerima ilmu dari Syeikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Kedua-duanya menerima sanad dari Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dia menerima ilmu dari Syeikh ‘Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far al-Falimbani (kemudian tinggal di Madinah). Beliau menerima ilmu dari ayahnya Syeikh Hasanuddin bin Ja’afar al-Falimbani, dan juga dari saudaranya Salih bin Hasanuddin al-Falimbani.

Kedua-duanya menerima ilmu dari Imam ‘Id bin Ali an-Namrisi al-Masri (tinggal di Mekah). Beliau menerima dari Imam al-Hafiz al-Muhaqqiq Abdullah bin Salim al-Basri al-Makki. Dia menerima daripada Muhammad Ibnu al-‘Ala’ al-Babli. Dia menerima daripada Abin Naja Salim bin Muhammad as-Sanhuri yang menerima daripada Muhammad bin Ahmad al-Ghiti.

Dia menerima daripada Kadi Zakaria bin Muhammad al-Ansari. Dia menerima daripada Abin Na’im Ridhwan bin Muhammad al-‘Iqabi. Dia menerima daripada Abit Thahir Muhammad bin Muhammad. Dia menerima daripada Abdur Rahman Ibnu Abdul Hamid al-Muqaddisi. Dia menerima dari Abil Abbas Ahmad bin Abdud Daim an-Nablusi.

Abil Abbas menerima daripada Muhammad bin Ali al-Harani. Dia menerima daripada Muhammad bin Fadhal al-Farawi. Dia menerima dari Abil Hussein Abdul Ghafir Ibnu Muhammad al-Farisi. Dia menerima daripada Abi Ahmad Muhammad bin Isa al-Jaludi. Dia menerima daripada Abi Ishak Ibrahim Ibnu Muhammad bin Sufyan az-Zahid. Dia menerima daripada pengarang kitab al- imam al-Hafiz Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi an-Nisaburi.

Yang tersebut di atas adalah sebagai contoh sanad Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi tentang hadis Muslim yang diterimanya dari Syeikh Nawawi al-Bantani. Tetapi tentang hadis Bukhari, Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi bertitik mula penerimaannya dari Syeikh Abdul Karim as-Sambasi. Bukan dari Syeikh Nawawi al-Bantani.

Melalui beberapa sanad/salasilah keilmuan Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu bertitik mula dari Syeikh Abdul Karim as-Sambasi bererti selain Syeikh Nawawi al-Bantani, beliau mempelajari pula berbagai-bagai bidang ilmu dari ulama yang berasal dari Sambas itu.

Namun demikian, saya masih meragui kebenaran tulisan Syeikh Yasin Padang itu kerana yang ditemui maklumat yang berada di Makah sezaman dengan Syeikh Nawawi al-Bantani ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Kedua-duanya adalah murid Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Sangat boleh jadi tulisan Syeikh Yasin Padang dalam Al-‘Iqdul Farid itu adalah tersalah cetak.

Masih ada satu sanad/salasilah Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi yang tidak terdapat dalam karya Syeikh Yasin Padang iaitu sanad/salasilah mengenai Tarekat Qadiriyah. Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani menulis, “…..Syaikhuna al-‘Alim al-‘Allamah al-Khalifah at-Tarekah al-Qadiriyah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi, ia mengambil daripada syeikhnya as-Saiyid Muhammad Mukrim, Mufti negeri Hamad benua Syam. Yang ia mengambil daripada Masyaikh-Masyaikhi ilan Nabi s.a.w yang muttasil hingga sekarang ini. Dan jika hendak mengetahui salasilah tarekat ini lihat di dalam Tuhfatil Qudsiyah bagi Syaikhunal mazkur asy-Syeikh Muhammad Zainuddin….”

Salasilah yang tersebut dalam kitab Tuhfatil Qudsiyah yang disebut oleh Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu tidak dapat diketahui kerana kitab karya ulama yang berasal dari Sumbawa itu masih belum ditemui hingga sekarang. Kemungkinan kitab tersebut telah ghaib, tiada siapa yang menyimpannya lagi.

Apabila kita semak tulisan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, dengan jelas beliau sebut bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi adalah Khalifah Tarekat Qadiriyah, iaitu tarekat yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Ini bererti kemunculan beliau seolah-olah setaraf dengan Syeikh Abdul Karim al-Bantani yang menjadi Khalifah Tarekat Qadiriyah yang dilantik gurunya yang dianggap mursyid kamil mukammil dalam tarekat itu, beliau ialah Syeikh Ahmad Khatib Sambas.

Beberapa orang ulama yang berasal dari Alam Melayu yang pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi memang sangat ramai. Di antara yang dianggap sebagai ulama besar dan tokoh yang berpengaruh ialah : Syeikh Mukhtar bin ‘Atarid Bogor, Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani, Kiyai Muhammad Khalil bin Abdul Lathif al-Manduri , Syeikh Ali bin Abdullah al-Banjari, Syeikh Khalid bin Utsman al-Makhla az-Zubaidi, Syeikh Abdul Hamid Kudus, Syeikh Mahfuz bin Abdullah at-Tarmisi (Termas, Jawa) dan ramai lagi.

Karya Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi hanya empat buah sahaja dalam maklumat yang ada pada saya iaitu:

1. Sirajul Huda ila Bayani ‘Aqaidit Taqwa, judul terjemahan dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya sendiri iaitu Pelita Petunjuk Kepada Menyatakan Segala Simpulan Segala Ahli Takwa. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab. Tidak terdapat kenyataan tarikh selesai melakukan penulisan.

2. Minhajus Salam fi Tafsil ma yata’allaqu bil Iman wal Islam. Tidak terdapat kenyataan tarikh selesai melakukan penulisan. Dicetak dalam beberapa edisi. Pada masa sekarang, hampir-hampir tidak ada di pasaran lagi.

3. Waraqatun Qalilatun fi Manasikil Hajji wal ‘Umrah ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie. Tidak terdapat kenyataan tarikh selesai melakukan penulisan. Risalah ini dicetak dalam Majmuk Kaifiyat Khatam al-Quran yang dinyatakan sebagai karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dicetak dalam berbagai-bagai edisi cetakan baik di Timur Tengah mahupun dicetak di dunia Melayu.

4. Tuhfatul Qudsiyah. Hanya terdapat maklumat berdasarkan karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani di dalam Badi’uz Zaman. Kemungkinan karya yang tersebut telah tidak dapat ditemui lagi.

Kandungan karya Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa yang nombor 1, iaitu Sirajul Huda, membicarakan tauhid atau akidah Ahli Sunah wal Jamaah, perbicaraannya biasa sahaja, sebagaimana kitab-kitab tauhid dalam bahasa Melayu yang lain-lainnya.

Sungguhpun begitu, ada dua hal yang menarik untuk dipetik, iaitu pertama terdapat dua tempat bahasa yang bercorak puisi dan yang kedua, kupasannya yang panjang mengenai satu istilah yang terdapat dalam usuluddin. Salah satu daripadanya tentang mukjizat Nabi Muhammad s.a.w menghidupkan ayah dan ibunya, terdiri enam bait, empat bait bahagian akhir sebagai contoh ialah:

“Maka dihidupkan ayah dan

bondanya

Supaya dengan dia percaya

keduanya

Maka terima olehmu jangan

ingkarnya

Kerana yang demikian itu

kuasanya

Telah datang hadis dalil

atasnya

riwayat orang pendita rijalnya

Barang siapa berkata dengan

daifnya

Maka ialah daif, tidak

hakikatnya.”

Daripada contoh di atas, dapat dipastikan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa adalah termasuk ulama ahli penyair dunia Melayu.

(sumber : (http://ulama-nusantara.blogspot.com)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar