DALAM perkembangan sejarah Islam di Asia Tenggara telah diketahui umum bahawa pada zaman silam pernah berkembang suatu tarekat yang dinamakan Tarekat Syathariyah. Ulama yang bertanggungjawab selaku penyebar tarekat itu pada peringkat awal di dunia Melayu ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Pada peringkat kedua penyebaran tarekat itu dibawa oleh seorang ulama besar bernama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Adapun Syeikh Muhammad bin Khatib Langien yang berasal dari Aceh yang diperkenalkan dalam artikel ini adalah termasuk peringkat murid kepada ulama yang berasal dari Patani. Ini kerana gurunya bernama Syeikh Muhammad Ali adalah sahabat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, iaitu sama-sama murid kepada Syeikh Muhammad As’ad, yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Aceh itu.
Syeikh Muhammad bin Khatib Langien pertama kali dikesan, diperkenalkan oleh Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi melalui kumpulan karangan ulama Aceh di dalam kitab berjudul Jam’u Jawami’il Mushannafat. Sebuah karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien termaktub dalam kumpulan karangan itu, iaitu yang berjudul Dawaul Qulub.
Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi menulis, “kitab yang ketujuh Dawaul Qulub daripada ilmu tasauf karangan penghulu kami yang sangat alim, lagi terhimpun kepadanya ilmu zahir dan ilmu batin iaitu Syeikh Muhammad anak penghulu kami Syeikh Khatib”.
Pada 1990, saya diberi tugas oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) untuk mengenali atau mengesan beberapa naskhah, maka ditemui beberapa karangan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu, telah diberi nombor kelas d MS 1044. Adapun tiga karya beliau terdapat dalam nombor yang tersebut. Dengan diketemukan karya-karya itu, maka dapatlah melengkapkan biografi Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu, yang sama pentingnya dengan ulama-ulama Aceh yang lain.
Pendidikan
Data tarikh lahir dan pendidikan secara lengkap dan terperinci masih belum diketahui dengan tepat dan pasti. Tahun kehidupannya dapat dibandingkan antara karyanya dengan karya- karya ulama Aceh yang lainnya. Dawaul Qulub karyanya diselesaikan dalam tahun 1237H/1821M. Ada lagi sebuah karya yang dikarang oleh ulama Aceh, Syeikh Abdullah, diberi judul Syifaul Qulub. Judul dalam bahasa Arab berbeza, tetapi jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu mempunyai tujuan atau pengertian yang sama, iaitu Ubat Sekelian Hati.
Syifaul Qulub karya Syeikh Abdullah Aceh itu diselesaikan tahun 1225H/ 1810M. Memperhatikan tahun selesai dikarang kedua-dua kitab itu, maka dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad bin Khatib Langien hidup sezaman dengan Syeikh Abdullah itu. Sezaman pula dengan Syeikh Muhammad bin Syeikh Abdullah Ba’id pengarang kitab Hukum Jarah yang diselesaikan tahun 1236H/ 1820M.
Guru Syeikh Muhammad bin Khatib Langien bernama Syeikh Muhammad Ali, yang merupakan penerimaan Tarekat Syathariyah, hanya dapat dikesan dari karyanya Mi’rajus Salikin, Syeikh Muhammad Ali itu adalah murid Syeikh Muhammad As’ad. Syeikh Muhammad As’ad menerima dari Syeikh Muhammad Sa’id. Syeikh Muhammad Sa’id menerima dari Ibrahim (al-Madani). Syeikh Ibrahim menerima daripada Syeikh Muhammad Tahir. Syeikh Muhammad Tahir menerima daripada Maula Syeikh Ibrahim al-Kurani. Maula Syeikh Ibrahim al-Kurani menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Mulai Syeikh Ibrahim al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi bererti bertemu asal salasilah dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Selanjutnya hingga ke atas adalah sama antara salasilah Syeikh Muhammad bin Khatib Langien dengan salasilah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Antara salasilah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula dimulai titik temu kesamaan mulai Syeikh Muhammad As’ad, selanjutnya hingga ke atas juga sama. Oleh sebab Syeikh Muhammad bin Khatib Langien adalah murid Syeikh Muhammad Ali, maka mula menjejaki salasilah atau sanad ilmu pengetahuannya selain tarekat dan tasauf tidaklah begitu sukar. Guru kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan termasuk Syeikh Muhammad Ali al-Asyi adalah seorang ulama besar yang berasal dari Aceh. Beliau ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.
Dengan demikian, pengetahuan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien pada sektor akidah Ahli Sunah wal Jamaah dan Mazhab Syafie pada sektor fiqh adalah tidak dipertikaikan walaupun kedua-dua ilmu itu belum ditemui karya beliau.
Karya dan pemikiran
Sebelum meninjau jalan pemikiran Syeikh Muhammad bin Khatib Langien, terlebih dahulu di bawah ini disenaraikan karya beliau yang telah ditemui, iaitu:
1. Dawaul Qulub, diselesaikan pada tahun Jim, hari Sabtu, bulan Rabiulakhir tahun 1237H/1821M.
2. Asrarud Din li Ahlil Yaqin, tanpa kenyataan tarikh selesai.
Data kedua-dua karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien yang tersebut di atas, dapat diambil keterangannya sebagai yang berikut:
Dawaul Qulub
Kitab Dawaul Qulub diterjemahkan judulnya kepada bahasa Melayu oleh pengarangnya sendiri, iaitu Ubat Segala Hati Daripada Segala Aib. Kata pengarangnya, “dengan tolong Tuhan yang memerintah Ia akan alam syahadah dan alam segala yang ghaib, dan aku aturkan akan dia atas satu mukadimah, dan tiga bab dan satu khatimah….
Dari segi kandungannya secara keseluruhan banyak persamaannya dengan Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Samad Palembang. Hanya saja diakui oleh Syeikh Muhammad bin Khatib Langien bahawa karyanya itu tidak dimuat karya ibadah. Seperti beliau tulis, “Dan tiada ku sebutkan segala ibadah yang lain di dalam kitab ini, seperti doa dan sembahyang tahajud, dan lain daripadanya, kerana yang demikian itu kelakuan orang abid bukan kelakuan murid. Dan faraq (garis pemisah) antara abid dan murid itu seperti faraq antara Masyriq (Timur) dan Maghrib (Barat). Maka betapa persamaan martabat kedua-duanya, kerana murid itu berkehendak ia akan Allah Taala, dan abid itu berkehendak ia akan hak Taala. Iaitu nikmat dunia atau nikmat akhirat….
Dalam Dawaul Qulub, dengan jelas Syeikh Muhammad bin Khatib Langien sangat mengutamakan zikrullah. Kata beliau, “Dan setengah daripada adab murid itu, jangan membanyakkan ibadah selain zikir. Melainkan segala yang telah difardukan hak Taala, dan sunat rawatib jua tiada lain. Zikrullah saiful murid, kata syeikh, pedang segala murid. Zikrullah min ‘alamatil Aulia’, yang zikir itu setengah daripada alamat Aulia’. Maka barang siapa melazimkan ia akan zikir, tak dapat tiada ia akan jadi Aulia”.
Pandangan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien mengenai tasauf beliau tulis, “Dan ilmu tasauf itu jalan kepada hakikat. Maka sebab itulah orang yang beramal seperti yang di dalam ilmu tasauf itu, nescaya hasillah padanya ilmu hakikat, dan jika tiada belajar ilmu hakikat sekali-kali, sekalipun. Tetapi jika belajar ilmu hakikat dengan tiada kau amalkan seperti yang di dalam ilmu tasauf, itupun tiada dapat kau ketahuikan akan dia.
“Dan tiada yang terlebih mulia dan yang terlebih dimaksud segala manusia, melainkan ilmu hakikat jua. Kerana, hakikat itu jalan kepada makrifat. Dan makrifat itulah jalan kepada mengenal Hak Taala. “Dan tiada dimaksud lain daripada Hak Taala. “Sebab itulah kasih aku, bahawa kebanyakan ilmu tarekat dalam kitab ini, dengan sempurna nyatanya, supaya jadilah kitab ini jalan bagimu kepada kau ketahui ilmu hakikat dan ilmu makrifat, jika kau amalkan seperti yang tersebut dalam kitab ini dengan sungguh-sungguh hatimu. Sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa menuntut ia akan sesuatu dengan sungguh-sungguh hatinya nescaya mendapat ia akan sesuatu, sama ada ia segera atau lambat, dan jika hampir matimu pun diberikan akan ia”.
Dalam Dawaul Qulub juga menyentuh persoalan pendidikan timbal balik perhubungan antara guru dengan murid. Perkara ini dikemukakan pada mukadimah kitab itu, kemudian dipertegaskan lagi pada bahagian khatimah (akhir) kitab. Sebagai penutup Syeikh Muhammad bin Khatib Langien menasihati murid-muridnya, “Maka tilik olehmu hai murid, akan keluasan rahmat Tuhanmu. Dan beroleh pengajaranlah engkau dengan barang yang telah ku sebutkan akan dia dalam kitab ini, nescaya segeralah kau dapat berjinak-jinak dengan Tuhanmu. Dan perbuatlah olehmu dengan sungguh hatimu, nescaya kau dapat segala yang kau maksud daripada Tuhanmu. Hai murid! Adalah kitab ini terlebih baik daripada ubat daripada segala penyakit hawa nafsu, dan mujarab yang telah dicuba akan dia beberapa orang yang tersebut dalam kitab ini.
“Maka barang siapa yang ada bermata hati nescaya adalah segala pengajaran dalam kitab ini terlebih sangat bersikah (ertinya: percaya di dalam hatinya), menurut Syeikh Ismail al-Asyi, pada bahagian tepinya, pada hatinya. Dan barang siapa telah tertutup Hak Taala akan hatinya, nescaya tiada memberi bekas dengan mendengar segala pengajaran ini, dan jika diajar terlebih banyak daripada segala yang tersebut dalam kitab ini sekalipun”.
Kitab Dawaul Qulub berhasil diterbitkan atas usaha dan tashhih Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi termaktub dalam Jam’u Jawami’il Mushannafat. Banyak kosa kata menurut bahasa Aceh di dalam kitab itu diperjelas Syeikh Ismail Aceh itu yang beliau letakkan di bahagian tepinya. Adapun Dawaul Qulub yang masih berupa manuskrip sampai data ini diambil belum diketahui di mana tersimpan.
Asrarud Din Li Ahlil Yaqin Manuskrip judul ini tersimpan di PMM-PNM dengan nombor MS1044. Kitab ini dicetak berkali-kali bersama-sama kitab Miftahul Jannah karya Syeikh Muhammad Taiyib bin Mas’ud al-Banjari. Di antaranya cetakan Matba’ah al-Miriyah Makkah, 1321H/1903M. Pada cetakan tersebut, tidak pernah menyebut nama pengarangnya. Kandungan kitab Asrarud Din karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu agak berbeza dengan kitab-kitab tasauf dalam bahasa Melayu selainnya. Sehingga sekarang belum ditemui kitab tasawuf yang membahas seperti yang tersebut dalam Asrarud Din itu. Yang dibahas di dalamnya, dimulai dengan syahadat. Menurut beliau tentang syahadat ada tiga jenis iaitu : syahadat syariat, syahadat tarekat dan syahadat hakikat. Apa saja yang dibicarakan berkisar kepada tiga itu, iaitu syariat, tarekat dan hakikat. Sembahyang juga demikian, sembahyang syariat, sembahyang tarekat dan sembahyang hakikat. Pendek kata semua rukun Islam yang lima dibahas pada sektor yang tiga itu.
(sumber : http://www.reocities.com/pgssajkm/wansaghir6.txt)
Alhamdulillah.
BalasHapus