Kamis, 29 September 2011

SYEIKH ABDULLAH AL-HARARI AL-HABASYI

Nama dan Tempat Lahirnya:
Beliau adalah seorang yang alim, al-‘Allamah al-Muhaddis, pakar dalam ilmu fekah, dan kuat berhujah menentang golongan-golongan yang terpesong dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, seorang yang zuhud dan bertaqwa, namanya ialah Abdullah bin Muhammad bin Yusuf bin Abdullah bin Jamei’, berasal dari Harar , berketurunan asy-Syaibi dan al-Abdary beliau juga merupakan Mufti Harar [dilantik menjadi mufti sebelum berumur 18 tahun].

Dilahirkan di bandar Harar pada tahun 1910 bersamaan 1328 Hijrah (beliau lahir lebih awal dari pada tahun yang tercatat, yang tercatat hanyalah yang tertera pada pendaftaran lama).

Pembesaran dan perjalanan hidup beliau:
Beliau telah dibesarkan di rumah yang penuh dengan kasih sayang pada ilmu agama. Beliau telah menghafal al Quran ketika berumur 7 tahun. Ayah beliau telah membacakan ke atasnya kitab al Muqaddimah al-Hadhramiah dan kitab al-Mukhtasar as-Saghir dalam ilmu fekah yang mana kitab tersebut amat mashyur di kawasannya.

Kemudian beliau mula menghafaz dari pelbagai matan-matan ilmu agama yang lain, kecenderungannya untuk mendalami ilmu hadis telah membuatkan beliau menghafal kitab-kitab hadis yang enam [سنن ستة] dan selainnya berserta dengan sanad-sanadnya sekali sehinggakan beliau telah diijazahkan meriwayat hadis-hadis nabi j ketika beliau kurang dari umur 18 tahun.

Tidak cukup dengan ulama di negaranya bahkan dia telah merantau keseluruh pelusuk Habsyah dan Somalia untuk menuntut ilmu dan mendengarnya daripada ulama setempat, oleh itu Syeikh Abdullah sanggup merintangi kesusahan dan kepayahan bahkan sekiranya dia mendengar ada orang alim disesuatu tempat maka dia akan bersegera pergi kepadanya seperti mana yang dilakukan ulama salafussolih yang terdahulu. Kehebatan, ketajaman fikiran dan kekuatan hafazannya yang hebat selain kemampuannya mendalami ilmu fekah Syafii dan usulnya dan mengetahui sudut khilaf dalam mazhab beliau juga sangat arif pendapat yang terdapat dalam mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali hinggakan beliau akan menjadi tempat rujukan ke mana sahaja beliau pergi, beliau juga diminta untuk mengeluarkan fatwa di bandarnya Harar dan sekitarnya.

Beliau telah mempelajari ilmu fekah Syafii dan ilmu usulnya dan juga ilmu nahu dan kitab-kitab yang lain antaranya seperti Alfiah Zubad, Kitab Tanbih, Minhaj, Alfiah bin Malik, al-Luma’ as-Syirazi dan banyak lagi dari Syeikh Muhammad Abdul Salam al-Harary, Syeikh Muhammad Omar Jamei’ al-Harary, Syeikh Muhammad Rasyad al-Habasyi, Syeikh Ibrahim Abil Gaish al-Harary, Syeikh Yunus al-Habasyi dan Syeikh Muhammad Siraj al-Jabruty.

Manakala dalam ilmu bahasa arab beliau telah mengambilnya daripada Syeikh as-Soleh Ahmad al-Basir, Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Habasyi dan ulama-ulama lain. Lagi tiga mazhab fekah yang lain dan usulnya beliau telah ambil daripada Syeikh Muhammad al-Araby al-Fasy dan Syeikh Abdur Rahman al-Habasyi.

Dalam ilmu tafsir beliau telah mengambil dari Syeikh Syarif al-Habasyi di bandarnya iaitu Jimmah.

Beliau telah mempelajari ilmu hadis dari as-Syeikh Abu Bakar Muhammad Siraj al-Jabruty Mufti Habsyah dan Syeikh Abdul Rahman bin Abdillah al-Habasyi.

Beliau mempelajari ilmu Qiraat 14 dari dan ilmu Hadis dari gurunya yang alim iaitu Syeikh al-Muhaddis Ahmad Abdul al-Muttalib al-Jabaruty al-Habasyi , beliau adalah ketua guru kepada ahli-ahli ilmu Qiraat di Masjidil Haram di Mekah dan dari Syeikh Daud al-Jabruty al-Qori, Syeikh al-Muqri Mahmud Faiz ad-Dair Atony ilmu qiraat yang tujuh.

Ketika beliau berada di Mekah beliau sempat berkenalan dan bersahabat dengan ulama-ulama Mekah diantaranya ialah Syeikh al-Alim as-Said Alawi al-Maliki, Syeikh Amin al-Kitbi, Syeikh al-Muhaddis Muhammad Yasin al-Padani [berasal dari Padang, Indonesia], Syeikh Muhammad al-Araby at-Tabban, beliau juga pernah mengambil ijazah amalan zikir Tariqat an Naqsyabadiah dari Syeikh Abdul Ghafur al-Afghani An-Naqsyabandi.
Kemudian beliau telah pergi ke Madinah al-Munawwarah di sana beliau sempat belajar ilmu-ilmu hadis dan membaca hadis-hadis nabi dari Syeikh al-Muhaddis Muhammad bin Ali al-Siddiq al-Bakry al-Hindi al-Hanafi dan syeikh tersebut mengijazahkan ilmu hadis kepada beliau. Di sana juga beliau sempat pergi ke Maktabah Arif Hikmat dan Maktabah al-Mahmudiah dan mengkaji ilmu-ilmu di sana, dan di katakan beliau telah menghafaz hampir kesemua kitab di dalam maktabah-maktabah tersebut. Di Madinah juga beliau sempat bertemu dengan seorang ulama hadis iaitu Syeikh al-Muhaddis Ibrahim al-Khattani anak murid kepada seorang ulama yang masyhur iaitu Syeikh al-Muhaddis Abdul Qadir Syalbi. Adapun ijazah-ijazah ilmu agama yang beliau perolehi dari ulama-ulama memang sangat banyak tetapi tidak disebutkan di sini.

Selepas itu beliau menuju ke Baitul Muqaddis dan seterusnya ke dataran Syam yang dulu terkenal dengan seorang ulama yang sangat alim iaitu al Muhaddis Syeikh Badruddin al-Hasani tetapi beliau sudah lama meninggal dunia sebelum kedatangan Syeikh Abdullah al-Harary ke sana. Di sana Syeikh Abdullah al-Harary menjadi rujukan dalam masalah-masalah agama bahkan beliau mengembara ke desa-desa dan ke bandar-bandar di antara Dimashq, Beirut, Himsh, Hamah, Halab dan bandar-bandar yang lain di seluruh pelusuk bumi Syam, kemudian dia menetap di Jamik al-Khuthat di satu tempat yang bernama Khaimuriah di Dimashq dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam yang berguna dan bermanfaat dan mengajarkannya berteraskan Manhaj atau metodologi Ahlus Sunnah Wal Jamaah, para masyaikh, alim ulama Syam merujuk kepada Syeikh Abdullah tentang bermacam-macam masalah sehingga mereka mengatakan bahawa Syeikh Abdullah ini adalah pengganti kepada al Muhaddis Syeikh Badruddin al-Hasani dari segi ilmu. Kemudian beliau digelar sebagai "Al-Muhaddis Ad-Diyar Asy-Syamiyyah".
Syeikh Abdullah telah menerima ijazah tariqat al-Rifaeyyah dari Syeikh Abdul Rahman al-Sabsabi al Hamawy dan dari Syeikh Tohir al-Kayaly al-Humsi. Beliau sempat menerima ijazah tariqat al-Qadiriyah dari Syeikh Ahmad al-Arbiny dan dari Syeikh at-Toyyib ad-Dimasyqi.

Pada tahun 1950 bersamaan dengan 1370 hijrah beliau telah pergi ke Beirut dan di sambut oleh ulama-ulama di sana seperti Syeikh Taufiq al-Hibry. Dan pada tahun 1969 bersamaan 1389 beliau diminta oleh Rector al-Azhar cawangan di Lubnan untuk mengajar ilmu akidah di sana.

Sifatnya:
Syeikh Abdullah adalah seorang yang warak, tawadhuk, kuat mengerjakan ibadat, banyak berzikir, sentiasa menggunakan masanya untuk menyampaikan ilmu agama dengan mengajar dan berzikir, seorang yang zuhud sehingga susah untuk melihat beliau dalam satu masa dia tidak menggunakan masanya melainkan menyempurnakan masa tersebut untuk mengajar atau zikir atau membaca atau menyampaikan nasihat. Kuat berpegang dengan Kitab [al-Quran] dan Sunnah, mempunyai ingatan dan kecerdasan akal yang kuat dengan hujah dan dalil yang teguh, sangat adil dalam munghukumkan sesuatu, sentiasa memerangi terhadap siapa sahaja yang melanggar syarak, mempunyai kekuatan dan semangat yang tinggi dalam amal makruf dan nahi munkar hinggakan golongan bidah berhasad dan menfitnahnya, tetapi Allah memberkati amalannya dan memelihara manhaj Ahlus Sunnah hinggakan telah lahir beribu-ribu anak muridnya bertebaran di muka bumi ini dari Negara Arab, Eropah, Afrika, Australia dan juga Asia.

Penulisannya:
Syeikh Abdullah al-Harary sebenarnya tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk mengarang banyak kitab kerana beliau amat sibuk dengan pengajaran dan memperbetulkan akidah-akidah manusia, di samping menentang golongan sesat yang mereka cipta perkara baru dalam agama. Walaubagaimanapun dalam kesibukan itu beliau tetap juga menulis pelbagai karangan dan risalah-risalah antaranya ialah :

1. Syarah Alfiah As-Suyuthi.
2. Qosidah Fil I’tiqodi.
3. As-Shirothul Mustaqiim.
4. Ad-Dalilul Qawim ‘Ala As-Shirothil Mustaqiim.
5. Mukhtasar Abdillah Al-Harary Al-kafil Bi ‘Ilmi Ad-Din Ad-Dharury ‘Ala Mazhabi Asy-Syafii.
6. Mukhtasar Abdillah Al-Harary Al-kafil Bi ‘Ilmi Ad-Din Ad-Dharury ‘Ala Mazhabi Al-Imam Malik
7. Mukhtasar Abdillah Al-Harary Al-kafil Bi ‘Ilmi Ad-Din Ad-Dharury ‘Ala Mazhabi Abi Hanifah.
8. Bughyah At-Tholib li Ma’rifatil Ilmi Ad-Deenil Wajib.
9. At-Ta’aqqub Al-Hatsits ‘Ala Man Tho’ana fi Ma Sohha Minal Hadis.
10. Nashratul Ta’aqqubil Hatsits ‘Ala Man Tho’ana Fima Sohha Minal Hadis
11. Ar- Rawa-ihuz Zakiyyah fi Maulidi Khairil Bariyyah.
12. Syarah Aqidah An- Nasafiyyah.
13. Syarah Al-fiyah Al-Zubad fi fiqhi Asy- Syafii.
14. Syarah Matan Abi Syujaa’ Fi Fiqhi Asy Syafii
15. Syarah As-Shirothil Mustaqiim.
16. Syarah Matnil ‘Ashmawiyyah.
17. Syarah Mutammimah Al-Aa jurumiyah fin Nahu.
18. Syarah Al-Baiquniyyah.
19. Shorihul Bayan fi Roddi ‘Ala Man Khalafal Quran.
20. Al-Maqoolaat As-sunniyyah fi Kasyfi Dhalalaat Ahmad bin Taimiyah.
21. Kitab Ad-Durrin Nadhidi Fi Ahkamit Tajwid.
22. Idzhar Al-‘Aqidah As-Sunniyyah bi Syarah al-‘Aqidah At- Thohawiyah.
23. At-Tahzir al-Wajib
24. Mandzumah “Nasihat At-Thullab”.
25. Risalah Fi Buthlan Da’wa Awwaliyyatil An-Nurul Muhammady.
26. Risalah Fi Roddi ‘ala Qaulil ba’dhi Innar Rasula ya’lamu kulla Syai’in ya’lamuhumullah.
27. Ad-Durarul Bahiyyah Fi Halli Alfadz Al-‘Aqidah At-Tahawiyah.
28. Al-Ghaaratul Imaniyyah Fi Roddi Mafasidi At-Tahriryyah.
29. Syarah Mandzumah As-Shibyan fil ‘Arudh
30. Syarah As-Sifat Ats-Salats ‘Asyarata Al-Wajib Lillah
31. Al’Aqidah Al-Munjiyyah
32. Syarah At-Tanbih
33. Syarah Manhaj At-Tullab.
34. Syarah Kitab Sullamit Taufiq ila Mahabbatillah ‘Ala Tahqiqi Lil Syeikh Abdillah Ba’lawi

Kewafatannya:
Beliau kembali ke Rahmatullah pada fajar hari selasa 2 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 2 September 2008 Masihi di rumahnya di Beirut pada usia 105 tahun, disembahyangkan oleh jutaan umat Islam di Masjid Burj Abi Haidar Beirut dan di makamkan berdekatannya.

Beliau adalah ulama yang hebat dan dikenali dengan gelaran Al-Muhaddith (ulama pakar Hadith), Syeikhul Islam dan sebagainya dari gelaran yang mulia. Rahimakallahu Ya Syeikh Abdullah Al-Harari.

(sumber : http://abu-syafiq.blogspot.com/2010/09/peluangku-bertemu-wali-allah-syeikh.html)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar