Kamis, 07 Juli 2011

Syaikh Sulaiman Ar Rasuli (1287 – 1390 H)

Syaikh Sulaiman ar-Rasuli atau terkenal di antara para muridnya dengan panggilan Maulana Syaikh Sulaiman adalah seorang ulama besar Minangkabau. Beliau dilahirkan di Candung, Sumatera Barat pada tahun 1287H dan wafat pada tahun 1390H.

Beliau adalah seorang ulama besar yang gigih mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i. Sebelum meneruskan pelajarannya ke Makkah al-Mukarramah, beliau terlebih dahulu belajar, antara lain kepada Syaikh Yahya al-Khalidi Magak Bukit Tinggi. Di Makkah, beliau berguru dengan Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif Minangkabau, Syaikh Wan Ali Kutan al-Kelantani, Syaikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi ulama di sana. Beliau adalah seangkatan dengan ulama-ulama Nusantara seperti Syaikh Abbas Ladang Lawas, Syaikh Jamil Jaho Padang Panjang, Kiyai Hasyim Asy`ari, Syaikh Hasan Maksum, Syaikh Khatib Ali Minangkabau, Syaikh Zain Simabur, Syaikh Muhammad Yusuf Kenali (Tok Kenali al-Kelantani) dan Syaikh Utsman Sarawak. Bersama-sama Syaikh Abbas Ladang Lawas dan Syaikh Jamil Jaho, mereka bertiga ini dikenali sebagai “tali pilin tiga” yang kuat dan kukuh mempertahankan faham Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i.

Sekembalinya Syaikh Sulaiman ke Sumatera, beliau mula mengajar menurut sistem pondok. Walau bagaimanapun, pengajian sistem pondok secara halaqah iaitu bersila di lantai dalam pendidikan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli berubah menjadi sistem persekolahan duduk di bangku pada 1928, namun kitab-kitab yang diajar tidak pernah diubah. Setiap tahun beliau memberikan ijazah kepada murid-muridnya yang telah tamat, di mana dalam ijazah-ijazah tersebut dinyatakan bahawa pemegangnya kalau hendak berfatwa mestilah menurut mazhab Syafi`i. Hal ini dipegang teguh oleh beliau sehingga dinyatakan dalam ijazah-ijazah tersebut bahawa beliau tidak redha dunia-akhirat, kalau murid-muridnya memfatwakan dan menganut mazhab lain.

Pada tahun 1921, beliau dan beberapa ulama termasuk 2 sahabatnya tadi telah menubuhkan sebuah organisasi agama bernama “Ittihadul Ulama Sumatera” yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan faham Sunni Syafi`i. Antara aktiviti organisasi ini adalah menerbitkan majalah “ar-Radd wal Mardud” yang menjelaskan serta mempertahankan fahaman Sunni Syafi`i.

Pada tahun 1928, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli bersama sahabat-sahabatnya Syeikh Abbas Ladang Lawas dan Syeikh Muhammad Jamil Jaho mendirikan pula persatuan sekolah-sekolah agama dengan nama “Persatuan Tarbiyah Islamiyyah”, di mana seluruh madrasah dan pondok yang bergabung dengannya dinamakan “Madrasah Tarbiyah Islamiyyah”. Seluruh madrasah dan pondok tersebut diubah gaya pengajiannya dengan memakai papan hitam, meja dan bangku, tetapi isi pelajaran dan kitab-kitabnya tetap sama tidak berubah iaitu kitab-kitab mazhab Syafi`i dan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, antaranya, “Matan Taqrib”, “Fathul Qarib”, “Fathul Mu`in”, “I`anathuth Tholibin” dan “Mahalli”. Maka bertebaranlah madrasah-madrasah ini di seluruh Sumatera dari Aceh hingga ke Lampung, bahkan mencapai Sintang, Kalimantan Barat. Kemudian organisasi ini bukan sahaja bergiat dalam pendidikan, tetapi ia juga bergiat dalam politik sebagai sebuah parti politik yang mempunyai singkatan nama PERTI. Baik dalam sistem pendidikan mahupun perjuangan dalam parti politik, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan kawan-kawannya secara tegas dan berani mempertahankan dan berpegang dengan satu mazhab, iaitu Mazhab Syafi`i.
Antara kitab-kitab karangan beliau adalah:-
1. Dhiya-us Siraj fil Isra` wal Mi’raj;
2. Tsamaratul Ihsan fi wiladah Sayyidil Insan;
3. Dawa-ul Qulub fi qishshah Yusuf wa Ya’qub;
4. Risalah al-Aqwal al-Washitah fidz-Dzikri war-Rabithah;
5. al-Qaulul Bayan fi Tafsiril Quran;
6. Al-Jawahirul Kalamiyyah;
7. Sabilus Salamah fi wird Sayyidil Ummah;
8. Perdamaian Adat dan Syara`; dan
9. Kisah Muhammad ‘Arif (tasawwuf).

Sungguh beliau ini ulama besar yang jarang tandingannya, kukuh dan kuat mempertahankan agama berorientasikan Sunni Syafi`i. Beliau pergi menemui Ilahi dalam usia 85 tahun pada 28 Rabi`ul Akhir 1390H bersamaan 1 Ogos 1970 dan dimakamkan di Komplek Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah, Candung, Bukit Tinggi. Jenazah beliau diiringi oleh puluhan ribu umat beserta para ‘ulama dan umara`nya. Bendera Republik Indonesia dikibarkan setengah tiang selama 3 hari berturut-turut oleh Pemerintah dan rakyat Sumatera Barat, untuk menyatakan belasungkawa dengan pemergian al-’Alim al-’Allamah al-Fadhil Maulana Syaikh Sulaiman ar-Rasuli bin Angku Muhammad Rasul al-Minkabawi. Moga-moga Allah sentiasa mencucuri rahmat dan keredhaan ke atasnya serta menempatkan beliau bersama Junjungan Nabi s.a.w. dan para shiddiqin, aamiin…..al-Fatihah.

http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/09/syaikh-sulaiman-ar-rasuli.html

Tidak ada komentar:

Posting Komentar