Jumat, 01 Juli 2011

SYEIKH MUHAMMAD ZAIN AL-ASYI

BAHAGIAN Agama, Utusan Malaysia beberapa bulan yang lalu memperkenalkan Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin Aceh. Tradisi dakwah, pendidikan dan penulisan Islam terus disambung oleh anak beliau, Syeikh Muhammad Zain Aceh yang diperkenalkan pada terbitan hari ini.
Daripada dua beranak ulama Aceh yang tersebut, jelas menggambarkan fenomena sejarah dakwah dan pendidikan Islamiah di dunia Melayu memang jelas berantai, berjalan terus menerus tanpa putus, baik keturunan daripada ayah kepada anak dan seterusnya kepada cucu, mahu pun pertalian daripada guru kepada murid.
Riwayat yang ini, selain memperkenalkan sahsiah Syeikh Muhammad Zain Aceh juga diperkenalkan beberapa karyanya. Yang paling menarik ialah kitab Bidayah al-Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain Aceh merupakan kitab ilmu tauhid menurut akidah Ahli Sunah wal Jamaah yang terlama dalam pasaran kitab di dunia Melayu. Kitab Bidayah al-Hidayah beliau tulis pada 1170 H/1757 M, sehingga sekarang kitab itu masih banyak diajar dan beredar dalam pasaran kitab. Jika kita bandingkan beberapa buah ilmu tauhid yang lebih dahulu, yang sezaman, bahkan yang lebih kemudian daripadanya, banyak yang tidak beredar lagi.
Lahir dan pendidikan
Tempat dan tarikh lahir secara pasti belum diketahui, walau bagaimanapun dipercayai beliau dilahirkan di tanah besar Aceh pada zaman kejayaan Islam di negeri itu.
Dipercayai Syeikh Muhammad Zain Aceh dilahirkan pada zaman peralihan kejayaan sufi Syeikh Hamzah al-Fansuri (wafat 1016 H/1607 M) dan muridnya Syeikh Syamsuddin Sumatra-i (wafat pada Jumaat, 12 Rejab 1039 H/25 Februari 1630 M) kepada zaman perdebatan khilafiyah, iaitu zaman Syeikh Nuruddin ar-Raniri (wafat 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M).
Syeikh Muhammad Zain adalah keturunan ulama Aceh, mulai ayah, nenek dan seterusnya dikenali sebagai ulama yang meninggalkan beberapa buah karangan, mereka adalah penyebar-penyebar Islam dan guru-guru yang berjasa kepada masyarakat Aceh dan Nusantara.
Syeikh Muhammad Zain Aceh mendapat pendidikan asas secara tradisional dari ayahnya dan daripada ulama-ulama Aceh yang terkenal termasuk para guru ayah beliau sendiri. Syeikh Muhammad Zain Aceh sempat belajar kepada Baba Daud bin Agha Ismail ar-Rumi, iaitu murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Muhammad Zain Aceh juga belajar dalam dua aliran Islam yang bertentangan satu sama lainnya di Aceh. Satu pihak ialah aliran tasauf kesan peninggalan aliran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dan pihak lain aliran yang memandang sesat ajaran itu.
Memperlihatkan kitab yang paling awal ditulisnya 1114 H/1702 M dipercayai beliau sempat berjumpa dengan tahun-tahun kehidupan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri (wafat 1105 H/1693 M, pendapat lain pada 1107 H/1695 M). Walau bagaimanapun belum terdapat informasi tentang beliau sempat belajar kepada ulama yang terkenal itu.
Sebagaimana disebutkan bahawa Syeikh Muhammad Zain Aceh adalah keturunan ulama Aceh, kemungkinan beliau juga sempat belajar kepada datuknya, Syeikh Arif Billah Kamaluddin bin Kadi Baginda Khatib al-Asyi. Kemudian Syeikh Muhammad Zain al-Asyi melanjutkan pelajarannya ke Mekah.
Para gurunya di Mekah yang dapat dikesan ialah Syeikh Muhammad Said, Syeikh Abdul Ghani bin al-Alim Muhammad Hilal, Syeikh Ahmad al-Farsi (ulama kelahiran Mesir) dan Syeikh Ahmad Durrah (juga ulama kelahiran Mesir).
Sebelum pulang ke Aceh, Syeikh Muhammad Zain Aceh sempat mengajar di Masjid al-Haram Mekah, juga mengajar di rumahnya. Berdasarkan manuskrip karya Syeikh Haji Abdur Rauf ibnu Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dapat disimpulkan bahawa pada zaman yang sama terdapat dua ulama yang bernama Muhammad Zain di Mekah. Yang pertama ialah Muhammad Zain al-Mazjaji al-Yamani berasal dari Yaman dan seorang lagi ialah Muhammad Zain al-Asyi berasal dari Aceh.
Di antara murid Muhammad Zain Aceh yang diketahui dan menjadi ulama terkenal di dunia Melayu ialah Syeikh Haji Abdur Rauf ibnu Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.
Karya dan pemikiran
Sebelum mengemukakan beberapa contoh pemikiran Syeikh Muhammad Zain Aceh terlebih dahulu disenaraikan karya-karya beliau yang dikesan, adalah sebagai yang berikut:
1. Ilmu Tauhid, ditulis tahun 1114 H/1702 M, 2. Bidayah al-Hidayah, selesai ditulis pada 24 Syaaban 1170 H/14 Mei 1757 M, 3. Kasyf al-Kiram, selesai ditulis pada 8 Muharam 1171 H/22 September 1757 M, 4. Talkish al-Falah fi Bayan Ahkam at-Thalaq wa an-Nikah, tanpa tarikh, 5. Risalah Dua Kalimah Syahadah, tanpa tarikh, 6. Faraidh al-Quran, tanpa tarikh, 7. Masalah al-Faraid, tanpa tarikh, 8. Bahas Doa Hizb al-Bahri, tanpa tarikh.
Mengenai kitab atau risalah yang tersebut pada senarai di atas dijelaskan seperti yang berikut: Kitab yang nombor 1 (Ilmu Tauhid). Pada kitab ini jelas dinyatakan tahun selesai menulisnya, iaitu 1114 H/1702 M. Memperhatikan tahun 1114 H/1702 M, bererti Syeikh Muhammad Zain Aceh mendahului karya ayahnya Syeikh Jalaluddin bin Syeikh Kamaluddin al-Asyi dengan karyanya yang pertama Hidayah al-‘Awam (1140 H/1727 M).
Daripada kemunculan karya yang pertama (1114 H/1720 M) yang dilanjutkan dengan karya yang nombor 2 (Bidayah al-Hidayah, 1170 H/1757 M) dengan jarak waktu yang begitu lama. Berkemungkinan antara tahun 1114 H/1702 M hingga tahun 1170 H/1757 M Syeikh Muhammad Zain Aceh banyak menghasilkan karya namun selain yang tercatat dalam senarai belum dijumpai.
Daripada seluruh karya yang termaktub dalam senarai di atas, Bidayah al-Hidayah adalah karya Syeikh Muhammad Zain Aceh yang paling berpengaruh. Manuskrip salinan kitab itu sangat banyak dijumpai. Perlu diperhatikan bahawa daripada sekian banyak manuskrip Bidayah al-Hidayah ada yang lengkap dan ada yang tidak lengkap.
Namun semuanya penting kerana sesebuah manuskrip disalin oleh orang yang berlainan yang masing-masing mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Biasanya mempunyai catatan, sama ada di bahagian tepi kiri-kanan mahu pun di bahagian kaki (bawah).
Di antara yang lengkap yang digunakan untuk pengambilan data ini adalah MS 128 koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia salinan Tuan Lebai Muhammad Din dan yang sebuah lagi salinan Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani koleksi peribadi, saya sendiri.
Perlu diperhatikan judul ini, bahawa Bidayah al-Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain Aceh itu tidak ada kena mengena dengan judul yang sama, iaitu Bidayah al-Hidayah karya Imam al-Ghazali yang membicarakan satu aspek memperbanyak amal dalam ilmu tasauf. Kitab Bidayah al-Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain Aceh pula adalah mengenai ilmu akidah.
Kitab ini diajar di dunia Melayu sejak pengarangnya masih hidup lagi, diteruskan oleh murid-muridnya, seperti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Sebelum kemunculan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang tersebut diajarkan dalam bentuk salinan tulisan tangan.
Syeikh Ahmad al-Fathani adalah orang pertama mentashih kitab itu, kemudian mencetak kitab Bidayah al-Hidayah itu pada 1303 H/1885 M. Pada akhir semua edisi cetakan Bidayah al-Hidayah dinyatakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, “Telah selesai ini beberapa kalimah yang mukhtasharah (ringkas,), yang disuratkan dia di dalam laungan yang sedikit akan jadi taqrir atas kitab ini, hal keadaan hamba harapkan uzur daripada tiap-tiap saudara yang muthala’ah atasnya. Pada pagi Sabtu, 20 Rejab al-Asham pada tahun seribu tiga ratus tiga daripada hijrah (20 Rejab 1303 H) atas tangan al-faqir Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ...”
Ia disambung dengan gubahan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu pada halaman terakhir, iaitu:
“Hai saudara yang tiada sempurna dirayah,
melainkan dengan kitab Bidayah al-Hidayah Hawa itu ibu bagi sekalian makhluk-Nya,
maka Bidayah al-Hidayah itu ibu al-barahin
Maka kitab ini asal yang dituntutnya,
dan yang lain ini kitab furu’nya
Khalilullah dengan dia mengajarnya, pada langit akan shibyan sekaliannya
Maka orang yang tiada mengaji akidah as-Sanusi,
dipukul akan dia dengan dua Malaikat dengan besi
Citerakan oleh setengah yang shalihin,
asy-Syeikh itu diperdiam akan dia di ‘Illiyin
Tiada sah ia sembahyang dan puasa,
hingga mentauhid Tuhan Yang Esa
Demikian tiada diterima akan amal dan ibadat,
hingga mendiri akan dalil dan makrifat.”
Pada halaman depan pula tercantum dua bait gubahan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab, yang terjemahan maksudnya,
“Makrifat akan tuhan dengan tiada ragu dan salah,
ialah satu fardu ain, bukan fardu kifayah
Ajarlah kaum akan petunjuk, nescaya salamah,
sungguh terang terdapat dalam Bidayah al-Hidayah.”
Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani memperhatikan bahawa kitab Bidayah al-Hidayah itu sangat digemari oleh masyarakat pengajian Islam Melayu, termasuk mereka yang tinggal di Mekah pada zaman itu, maka Syeikh Ahmad al-Fathani mulai mentashih kitab itu.
Syeikh Ahmad al-Fathani berhasil menemukan tulisan tangan asli Syeikh Muhammad Zain Aceh. Termasuk juga beberapa salinan naskhah yang diutamakan ialah salinan oleh ayah beliau iaitu Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani yang penuh dengan catatan di bahagian tepinya.
Saya mempunyai koleksi kitab tersebut berupa manuskrip, cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah (1303 H/1885 M) berturutan hingga cetakan yang keempat tahun 1319 H/1901 M. Cetakan-cetakan akhir yang dilakukan di dunia Melayu sekarang ini masih mengekalkan nota-nota yang ditulis oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bahagian tepi kitab Bidayah al-Hidayah.

(sumber : http://ulamanusantara.blogspot.com/)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar