ORANG pertama memperkenalkan karya ulama besar dari Aceh ini ialah Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi. Karya yang dimaksud itu berjudul Sirajuz Zhalam fi Ma‘rifatis Sa‘di wan Nahasi fis Syuhuri wal Aiyam, yang dicetak pada bahagian pertama kumpulan Tajul Muluk.
Kemudian dijumpai karyanya yang berjudul Qunu’ liman Ta‘aththuf yang masih dalam bentuk manuskrip, beberapa buah tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur, juga di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi penulis sendiri.
Oleh itu, penulis mulai menjejaki secara serius dan mengumpulkan data mengenai ulama besar Aceh tersebut.
Secara tidak disengajakan, dua kertas kerja yang dibentangkan dalam Bengkel Sejarah Bahasa Melayu Dari Pelbagai Kota (anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa (DBP) dan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (UKM 1992), terdapat sedikit maklumat mengenainya.
Dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Tuanku Abdul Jalil iaitu seorang Sekretaris Pusat Dokumentasi dan Informasi Aceh menyebutkan, “... Ulama Besar Syaikh Abbas bin Muhammad bergelar Teungku Chik Kutakarang...”.
Dalam kertas kerja M. Adnan Hanafiah tertulis, “Seorang ulama lainnya, Syeikh Abbas Kuta Karang di Aceh Besar, selaku pengarang, tabib, ahli ilmu astronomi, berkedudukan Kadi Malikul Adil pada masa pemerintahan Sultan Alaidin Ibrahim Mansur Syah (1857-1870) ...”.
Syeikh Abbas sendiri menulis serba ringkas asal usulnya, iaitu “...Syeikh Abbas, Aceh nama negerinya, Masjidul Jami’ Ulu Susu tempatnya, kejadiannya, Kuta Karang nama kampungnya”.
Syeikh Ismail bin Abdullah Muthallib al-Asyi mencatatkan, “...Syeikhuna wa Qudwatuna asy-Syeikh Abbas orang Aceh. Lagi sangat tabahhur pada sekalian fan ilmu handasah dan ilmu falakiyah ...”
Tahun lahir dan pendidikan asas ketika masih kanak-kanak belum dapat dikesan dengan pasti. Kita hanya dapat membandingkan tahun-tahun kehidupannya, seperti disebutkannya selesai menulis Qunu’ 1259 H/1843 M, selesai menulis Sirajuz Zhalam 1266 H/1849 M.
Ini bererti penampilan aktivitinya agak kebelakangan sedikit daripada dua orang ulama besar Aceh bernama Syeikh Muhammad bin Khathib Langien karyanya Dawaul Qulub, 1237 H/1821 M dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Abdullah Ba‘id (karyanya Hukum Jarah 1236 H/1820 M).
Kebetulan Tuanku Abdul Jalil juga menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abbas adalah “Muhammad”. Kemungkinan saja Syeikh Abbas yang diriwayatkan ini adalah anak kepada salah seorang daripada Syeikh Muhammad yang tersebut itu. Jika kita dapat ketahui nama datuknya, maka perkara yang rumit itu dapat diselesaikan. Tidak mustahil pula kemungkinan Syeikh Abbas adalah murid kepada kedua-dua ulama itu.
Beberapa maklumat yang dapat dikesan bahawa Syeikh Abbas bin Muhammad al-Asyi tersebut melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Di Mekah dia bersahabat dengan Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Muhammad Shalih Rawa dan ramai lagi.
Ulama yang berasal dari dunia Melayu tempat mereka belajar ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Hanya dua ulama itu saja yang dapat dikesan sebagai gurunya yang berasal dari Tanah Jawi (Asia Tenggara), selain turut belajar daripada beberapa ulama yang berasal daripada bangsa Arab sendiri.
Di antara mereka ialah: Saiyid Ahmad al-Marzuqi al-Maliki, Syeikh Utsman ad-Dimiyathi, Syeikh Muhammad Sa‘id Qudsi, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais, Syeikh Umar Abdur Rasul, Syeikh Abdul Hafiz al-Ajami dan ramai lagi.
Belum dijumpai riwayat yang jelas aktivitinya di Mekah selain belajar, hanya sebagai selingan pada waktu-waktu terluang, beliau cuba menulis kitab. Aktiviti-aktiviti mengajar baik di rumah mahupun di Masjidil Haram pun tidak terdapat keterangan mengenai itu. Apa yang jelas bahawa Syeikh Abbas Aceh pulang ke kampungnya membawa ilmu pengetahuan yang sangat banyak dalam berbagai-bagai bidang disiplin ilmu.
Karya dan pemikiran
Karya Syeikh Abbas Aceh yang diketahui secara lengkap adalah sebagai yang berikut:
1.Qunu’ liman Ta’aththuf, diselesaikan pada 8 Rabiulakhir 1259 H/1843 M di Mekah. Manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam dengan nombor MI 220, disalin oleh Muhammad Kadak bin Ismail Jering, Kampung Dala, Pattani, pada bulan Rejab. Penyalin berasal dari Kampung Bendang Daya Pattani, tanpa kenyataan tahun penyalinan. MI 513 disalin pada 1296 H/1878 M, dan MI 670 manakala yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu pula ialah MS 221(B) disalin pada hari Selasa, Syaaban 1296 H/1878 M di Mekah. Selain itu, terdapat juga koleksi penulis sendiri daripada bekas kepunyaan Muhammad Abdur Rahman bin Lebai Muhammad, Kampung Kepala Bukit, Senggora, disalin pada 1300 H/1882 M.
2.(Sirajuz Zhalam fi Ma‘rifatis Sa‘di wan Nahasi fisy Syuhuri wal Aiyam), diselesaikan pada waktu Dhuha, Isnin, 9 Rejab 1266 H/1849 M. Disalin oleh Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi pada hari Sabtu, 28 Rabiulawal 1306 H/1888 M di Mekah. Cetakan mutawal yang telah dijumpai dalam judul Tajul Muluk oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 H/1893 M. Ditashhih oleh Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi kemudian disemak semula oleh gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
3.Kitabur Rahmah.
4.Tazkiratur Rakidin
5.Mau’izhatul Ikhwan
Kitab ketiga dan keempat disebut oleh Tuanku Abdul Jalil dalam kertas kerjanya. Menurutnya, Tazkiratur Rakidin, berbentuk prosa Melayu-Aceh, Naskhah Leiden, 1304 H. Selain dua kitab ini kitab kelima juga disebut oleh M. Adnan Hanafiah dalam kertas kerjanya.
Apabila kita semak keseluruhan karya Syeikh Abbas Aceh, ia menyentuh disiplin ilmu falakiyah, hisab, hikmah, fiqh, perubatan, kesusasteraan dan politik.
Pada bahagian akhir karyanya Qunu’ liman Ta’aththuf, Syeikh Abbas Aceh menyebutkan bahawa dia mengikut Mazhab Syafie dan amalannya mengikut Tarekat Khalwatiyah. Kandungan Qunu’ liman Ta’aththuf pada bahagian akhirnya terdapat dua risalah sebagai tambahan yang dipercayai merupakan catatan Syeikh Abbas Aceh.
Risalah yang pertama mengenai masalah anjing dan risalah yang kedua, masalah hukum meninggalkan sembahyang.
Masalah anjing yang beliau tulis, “Orang wathi’ (menjimak) anjing atau wathi’ orang maka beranak jadi manusia, maka wajib atasnya sembahyang dan puasa. Dan jikalau ia alim, jadi kadi, maka sah ia berkahwin dengan orang. Dan dijadikan iman pun sah, tetapi haram sembelihannya. Dan jikalau bapanya orang dan ibunya anjing, dan anaknya jadi orang, maka sah berimam akan dia, dan sembelihannya haram jua. Dan air matanya, dan air liurnya, dan ...(naskhah rosak), dan basah farajnya, maka sekalian itu suci. Khilaf bagi Syeikh Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli ...”
Kita semak pula Sirajuz Zhalam, pada bahagian mukadimah, Syeikh Abbas Aceh menulis, “Maka bahawasanya bertitah oleh orang yang empunya kebesaran dan kemegahan pangkatnya, ialah yang menanggung panji-panji syariat dalam negeri Aceh yang mahrus, dan itulah tuan kita, sultan yang kebesaran pangkatnya, dan kemuliaan nasabnya, dan kebesaran kepujiannya, itulah sultan yang dilaqab dengan sultan Manshur Billah Syah ibnu Sultan Johor al-Alam Syah.
Akan bahawasanya aku kerjakan baginya suatu risalah yang mukhtasar dengan bahasa Jawi pada menyatakan mengenal segala hari bulan Arab. Dan mengenal segala saat bagi segala hari dan dari bulan ...”, demikian yang tertulis pada semua Sirajuz Zhalam yang pernah dicetak.
Tetapi ada beberapa manuskrip pada perkataan “... ibnu Sultan Johor al-Alam Syah” itu ditulis dengan “... ibnu Sultan Fathani al-Alam Syah”. Ada tiga tempat dalam kitab Sirajuz Zhalam itu menyebutkan nama itu, dan pada ketiga-tiga tempat itu semuanya berbeza tulisannya, “... ibnu Sultan Johor al-Alam Syah” atau “... ibnu Sultan Fathani al-Alam Syah”.
Sebagaimana disebutkan bahawa salah seorang guru Syeikh Abbas Aceh ialah Syeikh Ahmad/Muhammad al-Marzuqi, pada mukadimah juga Syeikh Abbas Aceh menyebut ulama itu dengan “Syaikhuna”. Dia juga menyebut karya ulama itu yang berjudul Syarh Natijati Miqat sebagai pegangannya mengenal ‘ilmu nujum’ (ilmu perbintangan atau astronomi).
Sebagaimana pada judul artikel ini telah penulis sebutkan bahawa Syeikh Abbas Aceh adalah seorang ahli astronomi dunia Melayu. Astrologi ialah satu disiplin ilmu yang membicarakan baik dan buruk manusia yang dihitung menurut perjalanan perbintangan, planet dan bulan.
Sebenarnya Sirajuz Zhalam bukan hanya membicarakan persoalan itu sahaja, tetapi adalah bersifat menyeluruh, bab pertama, mengenal sejarah bulan Arab. Mengenai ini Syeikh Abbas Aceh merujuk kepada kitab Wasilatut Thullab karya Syeikh Yahya bin Muhammad al-Hattab al-Maliki.
Dimulai dengan perpindahan Nabi s.a.w. dari Mekah ke Madinah, awalnya dengan hisab itu pada hari khamis, dan dengan ru’yat itu pada hari Jumaat. Dibicarakan pula istilah tahun kabisah dan basitah dan lain-lain.
Pendek kata kitab Sirajuz Zhalam adalah merupakan sebuah kitab yang bercorak sains yang merupakan pembuka jalan untuk kita membandingkan dengan buku-buku sains moden dalam bidang ilmu falakiyah, hisab, astrologi/astronomi dan sebagainya.
Baik pada peringkat awal bahkan sampai sekarang memang tidak ramai ulama dunia Melayu kita membicarakan ilmu yang itu, sama ada yang tersebar berupa bahan bercetak dan yang bercorak klasik satu-satunya hanyalah kitab Sirajuz Zhalam.
Yang berupa manuskrip pula boleh dikatakan hampir-hampir tidak dijumpai. Dalam koleksi penulis, terdapat sebuah manuskrip yang tidak diketahui nama pengarangnya.
Penutup karyanya itu, Syeikh Abbas Aceh menganjurkan supaya merujuk kepada kitab-kitab yang terkenal iaitu Risalah Imam Ja’far as-Shadiq, Risalah Abu Ma‘syaril Falaki, Wasilatut Thullab, ‘Umdatut Thalib, Syamsul Ma‘arif al-Kubra, Syarhu Nazhmi Natijatil Miqat, Syarhu Sirajil Munir, Syarhu Nazhmil Kawakib, dan banyak lagi yang tidak beliau senaraikan tetapi disebut pada beberapa tempat di antaranya Qanunus Siyasah.
Ada pun Kitabur Rahmah, menurut M. Adnan Hanafiah, kandungannya membicarakan ilmu tabib dan ubat-ubatan. Tazkiratul Rakidin, peringatan bagi yang terlambat adalah dalam bentuk puisi dan prosa dalam bahasa Melayu-Aceh. Mau’izhatul Ikhwan, iaitu pengajaran kepada kawan, karya ini berbentuk prosa dalam bahasa Melayu-Aceh juga.
Menurut M. Adnan Hanafiah juga, bahawa Syeikh Abbas Kutakarang mengatakan dalam risalahnya, “segala bentuk perbuatan yang memberi manfaat kepada kafir dihukumkan orang itu menjadi kafir”.
Barangkali pemikirannya itu mencerminkan bahawa dia adalah seorang ulama yang sangat anti terhadap Belanda yang menceroboh dan menjajah Aceh pada zaman itu.
(sumber : http://ulama-nusantara.blogspot.com/2007/10/syeikh-abbas-kutakarang-ahli-astrologi.html)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar